Wednesday 18 March 2015

Sup ekor dan sup tulang restoran tomyam.

Lama betul aku tak update blog ni. Sedangkan air ada pasang surutnya inikan pula mood aku...haha. Itulah namanya blog tenggelam timbul. Bila rasa nak menulis, aku tulis. Bila tak ada mood nak menulis aku mendiamkan dirilah. Hari ni aku nak bercerita pasal resepi sup yang ala kedai tomyam tu. Dah lama aku cari resepi sup macam tu tapi tak ada rezeki nak jumpa. Semalam aku ada terjumpa dengan dua mamat dari selatan Siam. Aku sembang-sembang dengan dia orang. Tanya kerja apa. Kedua-duanya kerja sebagai tukang masak kedai tomyam. Peh....pucuk dicita ulam mendatang. Aku pun apa lagi, mulalah korek resepi. Sebab jumpa pun sekejap saja jadi aku hanya sempat tanya resepi sup ekor/tulang sahaja. Tapi dia orang menjemput aku ke restoran dia orang jika aku nak belajar masak. Pasti aku akan pergi satu hari nanti. Dia orang ni tak kedekut ilmu jadi resepinya dia orang turunkan kepada aku. Mudah-mudahan dia orang mendapat manafaat daripada ilmu yang diturunkan tersebut.

Dia orang cerita lebih kurang saja. Kepada sesiapa yang nak cuba, kuantiti bahan-bahannya agak-agak sendirilah ye. Aku belum cuba lagi sebab tu kuantiti bahannya aku tak dapat nak bagi dengan tepat. Kalau aku dah cuba nanti aku akan masukkan entri yang baru dengan kuantiti bahan yang tepat. Okay, ilmu yang dia orang bai kat aku tu aku nak panjangkan kepada pembaca. Mula-mula rebus tulang atau ekor dengan dimasukkan sekali halia, bawang besar dan bawang putih. Bila dah lembut asingkan tulang/ekor dengan air rebusan. Air rebusan jangan buang. 

Kemudian panaskan satu atau dua sudu makan minyak masak dalam kuali dan masukkan bawang putih yang di ketuk, cili api yang diketuk, lebih kurang 5-6 butir lada hitam, batang saleri dan tomato. Masukkan air rebusan tadi sebanyak lebih kurang tiga suku mangkuk. Kalau kurang nanti boleh tambah lagi. Kemudian masukkan 3-4 ketul tulang/ekor. Masukkan pula serbuk sup. Agak-agaklah banyak mana nak. Kalau nak keruh kuahnya lebihkan serbuk sup. Perasakan dengan 2 1/2 sudu teh gula dan 2 1/2 sudu teh garam. Masukkan juga serbuk perasa 1 sudu teh dan sos tiram 1/2 sudu makan. Akhir sekali perahkan limau nipis ke dalam sup. Kuantitinya bergantung kepada kemasaman sup yang anda kehendaki. Dah siap.

Macam itulah caranya yang diajarkan kepada aku. Senang dan mudah. Selama ni punyalah susah aku cuba tak dapat-dapat jugak rasa sup yang macam kedai tomyam punya. Siap masukkan sos ikan lagi tu. Rupanya resepi yang betul mana ada sos ikan. Patutlah yang aku duk buat sup selama ni rasa dia kurang sikit...haha.

*bahan serta kuantiti yang tepat boleh rujuk entri yang baru di sini  http://pipsterian.blogspot.com/2015_03_01_archive.html

No comments:

Post a Comment